Wednesday, July 13, 2011

Pengkhianatan Pemimpin Umat Islam Hari Ini Dalam Perang Ain Jalut

Sesungguhnya  bulan Ramadhan ini adalah bulan rahmat yang mana seorang Muslim itu  giat berusaha mendekatkan dirinya kepada Allah SWT dan mendapatkan  ganjaran yang berlipat ganda dariNya. Ia juga merupakan bulan yang  memberikan banyak pelajaran kepada umat Islam seperti yang tertulis di  dalam lipatan sejarahnya. Sepanjang bulan ini kaum Muslimin telah banyak  berjuang dalam pertempuran yang dengan demikian itu rahmat Islam telah  berjaya dikembangkan ke tanah yang baru dan penjajah tanah umat Islam  dihalau demi menegakkan kembali kekuasaan Islam dan umatnya. Salah satu  peperangan yang terkenal adalah Perang Ain Jalut yang berlaku dalam  tahun 658 hijriah menentang penjajahan kaum Tartar, yang dianggap  sebagai salah satu daripada kejayaan luar biasa yang pernah tercatat  dalam sejarah kemanusiaan. Mengambil kira situasi sukar yang berlaku  terhadap umat Islam masa kini di Afghanistan, Palestin, Kashmir,  Indonesia, Bosnia, Chechnya - malah umat Islam di seluruh dunia secara  umumnya, banyak /kesamaan dan iktibar penting yang dapat kita timba dari  peristiwa peperangan yang terkenal ini.






Gambaran Keseluruhan Peperangan

Di penghujung tahun 656 Hijriah, bangsa Tartar  telah melancarkan satu  serangan mereka yang terbesar ke atas tanah Khilafah Muslimin yang  mengakibatkan jatuhnya kota Baghdad, terbunuhnya Khalifah Al-Musta'shim  Billah, dan terjajahnya tiga per-empat dari wilayahnya. Sewaktu dalam  perjalanan menghala ke Mesir dan Maghribi, kubu akhir yang terkuat bagi  kaum Muslimin, tentera Tartar telah menghantar sepucuk surat ancaman  untuk Wali (Gabenor) wilayah Mesir, Mahmoud Saifudeen Qutuz, yang antara  lain menyatakan, "Kami telah menghancurkan tanah itu,  menjadikan anak-anak mereka yatim-piatu, menyeksa dan membunuh mereka,  mencabul kehormatan mereka dan menjadikan pemimpin mereka tawanan.  Apakah anda fikir anda boleh melepaskan diri daripada kami? Anda akan  tahu selepas ini apa yang akan datang kepada anda..." mereka  menjangkakan, ugutan semacam ini sudah mampu untuk mematahkan rintangan  kaum Muslimin terhadap kemaraan mereka lantaran kelemahan dan rendahnya  moral dan semangat kaum Muslimin ketika itu. Qutuz bagaimanapun telah  memberikan jawapan yang berbeza. Beliau telah membunuh semua delegasi  tentera Tartar tersebut dan mayat mereka dibiarkan tergantung di dalam  kotanya, sehingga tindakannya itu dilihat berjaya meningkatkan semangat  tentera dan rakyatnya, dan dari satu sudut yang lain pula ia berjaya  menyampaikan amaran keras terhadap pengintip yang dihantar serta   pengikut setia musuhnya.

Ia telah berjaya menaikkan semangat kaum Muslimin ketika itu dan pada  masa yang sama telah mengejutkan kaum Tartar kerana mereka sedar bahawa  mereka sedang menghadapi seorang pemimpin yang lain daripada  apa yang  telah mereka jumpai sebelum ini.

Qutuz kemudiannya menghimpunkan kaum Muslimin untuk menghadapi  pertempuran yang tidak dapat dielakkan tersebut. Di bawah kepimpinannya,  kaum Muslimin telah bersatu atas dasar Iman, kesepakatan, dan  senjata-senjata besi yang perlu telah disediakan untuk berhadapan dengan  musuhnya. Dia turut memohon bantuan dari pegawai-pegawainya dan para  ulama’ untuk bersama-sama dengannya menyeru kaum muslimin untuk berjuang  mempertahankan Islam dan menumpukan usaha untuk membebaskan tanah-tanah  mereka yang telah dijajah.

Tibalah masa untuk pertempuran yang kemudiannya berlaku di medan perang  Ain Jalut bersamaan dengan hari Jumaat, 25 Ramadhan 658 hijriyah. Qutuz  sendiri yang mengepalai tentera kaum Muslimin ke medan perang telah  memberikan goncangan pada jiwa tentera-tentera Tartar. Memerhatikan  situasi ini, Qutuz kemudiannya memanjat naik atas seketul batu besar,  mencampakkan topi perangnya, beliau melaungkan "Wa Islamah. Wa Islamah."  (Demi Islam! Demi Islam!). Beliau menyeru tentera-tenteranya menetapkan  hati berjuang menentang musuh-musuh Allah. Kemudian pemimpin tentera  Muslimin beliau yang asalnya berasa goyah dan putus asa terhadap  pertempuran ini berpaling apabila mendengar suara beliau yang garang  bersama riak mukanya yang kemerahan marah menghayun dan menebas  pedangnya dengan penuh keberanian untuk menewaskan musuh-musuhnya.  Keberanian Qutuz ini telah memeranjatkan pemimpin-pemimpinnya yang  pantas mengikuti langkah-langkahnya, dan akhirnya meningkatkan semangat  tentera Islam keseluruhannya. Lama-kelamaan pertempuran itu telah mulai  memihak kepada tentera Muslimin sehinggalah kemudiannya barisan tentera  Tartar dihancurkan memaksa mereka melarikan diri dari medan pertempuran.  Kemenangan berpihak kepada Islam dan kaum Muslimin. Bagi tentera  Tartar, apabila mereka menyedari serangan dan dominasi mereka ke atas  wilayah Timur Islam semakin pudar dan umat Islam berjaya meningkatkan  kembali kekuatannya, mereka telah melarikan diri pulang ke tanah air  mereka, yang memudahkan usaha-usaha Qutuz untuk membebaskan kesemua  wilayah Shaam dalam masa beberapa minggu. Kemenangan besar kaum Muslimin  di bawah kepimpinan yang ikhlas tersebut, yang pada satu masanya adalah  sangat lemah dan dikuasai oleh musuh, mempunyai banyak kesamaan ke atas  keadaan umat Islam pada hari ini.

Perbandingan 1 -  Pengkhianatan Pemimpin

Keupayaan kaum Tartar menghancurkan umat Islam, mengambil alih ibu kota  Khilafah, membunuh rakyat-rakyatnya yang tidak berdosa, dan menjajah  sehingga dua pertiga tanah umat Islam, adalah sebagai akibat daripada  pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-‘Alkami. Al-‘Alkami adalah menteri  Khalifah Mu’tasim Billah. Dia memperdaya Mu’tasim supaya melakukan  perdamaian dengan pihak Tartar sementara itu pada masa yang sama dia  telah mengikat perjanjian rahsia dengan mereka, menjanjikan untuk mereka  pelepasan dari sebarang halangan semasa serangan mereka dengan syarat  mereka melantiknya menjadi Khalifah dan membenarkan dia mendirikan  kerajaannya sendiri di Baghdad. Pengkhianatan ini telah membawa kepada  kematian Mu’tasim dan pegawai-pegawainya yang ikhlas serta ulama yang  diutus oleh khalifah untuk berunding dengan kaum Tartar kemudiannya  telah dibunuh oleh mereka. Ia juga membawa kematian kepada dirinya  sendiri di tangan kaum Tartar, dan janji mereka kepadanya tidak  memberikan apa-apa makna.

Bandingkan pengkhianatan yang dilakukan oleh Al-Alkami dengan apa yang  dilakukan oleh pemimpin umat Islam pada masa sekarang. Kaum Muslimin  telah diperdaya supaya melakukan perdamaian dengan Israel melalui  tindakan pemimpin-pemimpin, yang kebanyakannya telah melakukan  perdamaian ini secara terbuka, seperti Hosni Mubarak di Mesir, Raja  Abdullah di Jordan, dan Yasser Arafat di Palestin. Hasil dari  pengkhianatan ini, entiti Israel terus wujud dan juga pembelotan serta  pertumpahan darah Muslimin di Palestin yang hidup umat yang tertindas di  bawah pemerintahan Israel. Apa yang pemerintah ini dapat sebagai  balasan daripada pihak musuh tersebut? Keadaan ekonomi yang parah,  masyarakat yang terabai, hilangnya kuasa politik, ketakutan yang  berpanjangan terhadap Israel dan umat Islam yang telah mengetahui  tentang pembelotan pemimpin-pemimpin ini yang berusaha untuk  menjatuhkannya. Contohnya Musharraf yang cuba meyakinkan umat Islam di  Pakistan tentang faedah-faedah membenarkan Amerika mengebom muslimin di  Afghanistan atas dasar manfaat ekonomi, penghapusan sekatan ekonomi dan  pembentukan kerajaan baru di Afghanistan. Apa yang Musharraf dapat  sebagai balasan terhadap perkhidmatannya kepada Amerika? Faedah ekonomi  yang dijanjikan oleh Amerika tidak memberi sebarang kesan terhadap  jumlah hutang yang dimilikinya lantaran polisi penyesuaian struktur IMF  yang sukar dan telah menempatkan sumber ekonomi paling penting Pakistan  berada di tangan pelabur-pelabur dan institusi swasta asing sehingga  meletakkan umat Islam di Pakistan terus berada dalam kesusahan. Secara  politik, Musharraf ‘terkejut' apabila mendapat tahu NATO telah memasuki  Kabul dengan kebenaran Amerika, walhal sebelumnya Amerika telah berjanji  untuk menghalang NATO daripada memasukinya sehingga ia berunding dengan  kepimpinan Pakistan.

Pemimpin-pemimpin ini dan pengkhianatan yang mereka lakukan tidak  membawa apa-apa keuntungan sama ada kepada Islam, Muslimin, malah kepada  diri mereka sendiri - namun mereka masih meneruskannya.

Firman Allah SWT:


“(Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman  rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut  mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi  orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu  semuanya ialah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang  dikehendakiNya).”[TMQ An-Nisa’[4]: 139]

Perbandingan 2 – Reaksi kepada Ancaman Musuh

Tentera Tartar telah memberikan ugutan dan peringatan kepada kaum  Muslimin mengenai sebarang penentangan terhadap penjajahan dan  pemerintahan mereka. Tetapi, walaupun tentera Muslim berada dalam  keadaan yang lemah dan rendah semangat mereka, Qutuz bangkit dengan  keyakinan terhadap Islam dan bertindak balas terhadap surat ancaman  tersebut dengan ancaman yang lebih kurang serupa. Tindakan beliau ke  atas delegasi kaum Tartar tersebut adalah untuk menyampaikan mesej  kepada mereka bahawa mereka sedang berhadapan dengan seorang pemimpin  yang tidak akan berkompromi terhadap penghinaan/penodaan terhadap Islam,  umatnya dan tanahnya. Beliau kemudiannya telah menggerakkan  tentera-tenteranya untuk persediaan peperangan tersebut.

Bandingkan hal ini dengan keadaan semasa Bush, Presiden AS mengumumkan  bahawa perang Afghanistan adalah peperangan yang mana negara-negara  dunia harus memilih sama ada ingin berpihak kepada AS atau menjadi musuh  AS. Di hadapan delegasi PBB, dia memberikan ancaman dengan menyatakan  “Sama ada anda bersama atau menentang kami”. Bagaimana pemimpin-pemimpin  umat Islam telah bertindak balas terhadap ugutan ini yang membawa  kepada penodaan ke atas Islam, umat dan tanahnya?

Musharraf, Karimov dan pemimpin Turki adalah antara mereka yang bukan  hanya menyokong tindakan dan ugutan Amerika ini, malah turut menyediakan  bantuan logistik dan perisikan ke atas serangan yang dilakukan pada  umat Islam di Afghanistan. Pemimpin Libya, Muamar Gadafi dan pemimpin  Jordan, Abdullah adalah antara mereka yang menyatakan sokongan mereka  pada Amerika kepada umum dan malah memberikan sokongan kepada Amerika  untuk meneruskan pengeboman walaupun dalam bulan Ramadhan. Pemimpin yang  lain seperti Bashier (Sudan) dan Arafat menawarkan sokongan mereka  dengan mengumpulkan senarai “pengganas yang disyaki” di dalam negara  mereka dan menyerahkannya kepada CIA.

Orang-orang seperti Basar al-Assad pemerintah Syria, yang memberikan  sokongan secara tidak lansung mereka kepada Amerika untuk mendapatkan  jaminan supaya ancaman dan serangan Amerika ini hanya terbatas setakat  di Afghanistan sahaja dan tidak merebak ke negara-negara Arab. Manakala  untuk orang-orang seperti Saddam Hussein, penentangannya terhadap  Amerika yang ditunjuk-tunjukkan kepada umum tidak boleh dianggap sama  seperti kedudukan Qutuz. Qutuz berdiri untuk Islam dan semangatnya untuk  membela Islam, manakala Saddam pula telah menodai/menghina agama Islam,  mencabut nyawa kaum muslimin, dan mengaut kesemua kekayaan milik rakyat  di Iraq lebih dahulu awal-awal lagi sebelum kedatangan Amerika. Dan  untuk kedudukan politiknya, ianya jelas untuk kepentingan dan faedah  tuannya, iaitu  pihak British.

Sementara tindak balas Qutuz kepada kaum Tartar telah menaikkan semangat  kaum Muslimin dan pada masa yang sama telah memberikan kejutan kepada  musuhnya, tindak balas pemimpin hari ini pula dalam menghadapi keadaan  yang sama seperti dahulu, telah menyebabkan umat Islam menderita dan  pada masa yang sama menjanjikan Amerika mencapai apa sahaja kehendaknya.  Firman Allah SWT:


“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah  nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan  tapak pendirian kamu” [TMQ Muhammad (47) : 7]

Perbandingan  3 – Reaksi Para Ulama’

Antara ulama’ terkenal yang melibatkan diri menyeru kaum Muslimin untuk  bersatu dan bersedia untuk berjihad di waktu Ain Jalut adalah  Sheikh-ul-ulama’ Al-Izz Bin Abdis-Salam. Selain menyahut seruan Qutuz  menyeru kaum Muslimin dengan bersemangat dan juga menggunakan  mimbar-mimbar masjid untuk memperingatkan kaum Muslimin tentang  tanggungjawab mereka, keikhlasan beliau  terserlah contohnya apabila  Qutuz meminta fatwa untuk membenarkan kerajaan mengambil cukai daripada  rakyat bagi tujuan untuk menyediakan kelengkapan perang dan tentera  Muslimin, beliau menolak sehinggalah semua harta pemerintah dan pegawai  kerajaan dibelanjakan untuk tujuan itu.

Bandingkan hal ini dengan ulama’-ulama’ yang duduk dalam masyarakat pada  masa kini, manakala pada masa yang sama ramai lagi pejuang-pejuang  agama yang ikhlas menderita disumbatkan ke dalam penjara-penjara di  negara umat Islam. Bagaimana ulama’ hari ini sanggup turut bersekongkol  bersama dengan pemerintah membelot terhadap Islam dan umatnya di  Afghanistan dan di negeri-negeri mereka sendiri. Ketika Putera Nayef,  Menteri Dalam Negeri Arab Saudi menyatakan “tidak ada sesiapa yang  berhak mengeluarkan fatwa melancarkan jihad dan memberi sokongan ke atas  rejim Afghanistan, kecuali Majlis Fatwa atau sesiapa sahaja yang  dibenarkan oleh majlis tersebut untuk mengeluarkan fatwa. Ulama  bersepakat ke atas perkara ini, dan jihad tidak menjadi wajib  sehinggalah perintah melaksanakannya dikeluarkan oleh pemerintah negara  tersebut”, ke manakah perginya para ulama’ yang duduk dalam majlis fatwa  tersebut yang sepatutnya mengisytiharkan jihad? Malah di Amerika  Syarikat, ada seorang Imam yang mengisytiharkan bahawa tanggungjawab  seorang tentera Muslim dalam pasukan tentera Amerika dalam  mempertahankan tanah air mereka dan menyerang sesiapa sahaja yang  dianggap oleh Amerika sebagai musuh. Daripada mempertahankan kebenaran  pimpinan yang adil, mereka lebih suka membenarkan pemesongan yang  dilakukan oleh pemimpin yang zalim yang telah memisahkan tanah-tanah  kaum Muslimin dan menerapkan undang-undang kufur ke atas mereka.   Malahan mereka telah mereka telah membenarkan para pemimpin merampas  kekayaan kaum Muslimin dengan mengenakan cukai yang tinggi dan melampau  seperti kerajaan Pakistan yang mengenakan Cukai Jualan dan peningkatan  Cukai Tambahan (Value Added Tax-VAT) yang dikenakan oleh kerajaan Sudan  sebagai tambahan kepada cukai yang sedia ada.

Abi al-‘Awar as-Silmi (ra) melaporkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Berhati-hatilah kamu terhadap pintu-pintu yang mendekati penguasa,  kerana ia sebenarnya menjadi punca fitnah dan juga kehinaan” [Sahih ad-Dailamee, Ibn Mundah, Ibn-Asaki - as-Saheehah: 1253]




Perbandingan 4 – Persediaan Menghadapi Peperangan

Qutuz telah menghimpunkan pegawai-pegawainya, para Ulama’ dan kaum  Muslimin atas dasar Iman, perpaduan dan persediaan untuk berperang serta  menumpukan kepada kejayaan yang bakal Allah berikan pada kaum Muslimin  ke atas musuhNya. Dana yang mencukupi talah dikumpulkan untuk mencapai  objektif ini dan tenteranya telah digerakkan untuk bertarung di medan  jihad demi mempertahankan Islam, umat dan tanah kaum muslimin menentang  kaum penjajah.

Bandingkan pemerintah umat Islam pada hari ini yang juga telah  mengumpulkan para pegawai, ulama’ dan tentera untuk peperangan.  Musharraf telah membantu Amerika untuk persediaan peperangan menentang  kaum Muslimin dan meninggalkan mereka sepenuhnya. Dia lebih sanggup  mengarahkan tenteranya berkawal di sepanjang sempadan  Afghanistan-Pakistan bagi menghalang kemasukan kaum Muslimin dari negara  itu ke sempadan negaranya bagi mencari perlindungan daripada  memerintahkan tenteranya berdiri bersama-sama umat Islam Afghanistan  menentang musuh mereka. Musharraf juga menggunakan tenteranya untuk  menekan sebarang usaha demonstrasi yang menyatakan sokongan terhadap  Jihad di Afghanistan dan menghalang sebarang penyaluran dana untuk jihad  di sana. Sementara itu di sebelah Jordan pula ketika serangan Israel ke  atas Palestin sedang berlaku. Salah satu unit tentera Jordan yang baru  sahaja pulang dari melaksanakan tugas yang jauhnya adalah 1500 batu dari  tempat mereka untuk mempertahankan kepentingan British di Sierra Leone  sanggup hanya sekadar melintasi sempadan Palestin dan membiarkan sahaja  kaum Muslimin yang dibunuh oleh tentera Israel, yang jaraknya dari  kawasan mereka hanyalah 10 meter.

Adakah para pemerintah ini telah melupakan perintah Allah SWT yang firmanNya berbunyi:


“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala  jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda  yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh  Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu  tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu  belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu  dan kamu tidak akan dianiaya.” [TMQ Al-Anfaal (8) :60]

Dan Allah SWT juga berfirman:


“ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuhKu dan musuh kamu menjadi teman rapat...”[TMQ al-Mumtahanah[60]:1]

Perbandingan 5 - Seruan Kembali kepada Islam Ketika Saat Memerlukan

Di waktu tentera Tartar masih lagi menguasai pertempuran, Qutuz telah  memanjat sebuah batu besar, mencampakkan topi perangnya sambil  melaungkan “Wa Islamah... Wa Islamah” (Demi Islam..Demi Islam), menyeru  tenteranya berdiri teguh menentang musuh-musuh Allah. Tindakan beliau  ini adalah sama seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW  sewaktu dalam peperangan Uhud yang mana baginda menyeru sembilan orang  Sahabat (radhiallahuanhum) yang berada di sekitar baginda sambil  melaungkan, ”Marilah sini! Marilah sini! Akulah Rasulullah,” yang mana  pada ketika itu kafir Quraisy telah pun menguasai pertempuran tersebut  mengatasi kekuatan Muslimin dan ramai di kalangan kaum Muslimin ketika  itu yang mulai lemah dan meninggalkan medan pertempuran selepas  mendengar khabar bahawa Rasulullah SAW telah terbunuh. Inilah keimanan,  semangat dan rasa cinta terhadap Islam yang ingin dibina oleh Qutuz pada  tentera-tenteranya.

Bandingkan situasi tersebut pada pemerintah hari ini. Walaupun keadaan  pada ketika ini amat memerlukan penyatuan kaum Muslimin atas dasar Islam  dan bantuan dari Allah merupakan satu kepastian, malangnya kita masih  melihat pemerintah hari ini melaungkan, “Demi Amerika!! Demi PBB!! Demi  NATO!!” Arafat dan pemerintah Arab tidak berusaha mengumpulkan kekuatan  kaum Muslimin atas dasar Islam ketika berhadapan dengan Israel.  Sebaliknya Arafat telah menyatakan bahawa tidak akan ada perdamaian  selagi Amerika tidak masuk campur tangan. Juga seperti mana Mushararraf.  Ketika beliau ditekan oleh Amerika berkenaan Afghanistan, dia bertindak  menghimpunkan kaum Muslimin supaya menyokongnya di dalam menerima  tuntutan Amerika yang mahu menggunakan lapangan terbang Pakistan bagi  melancarkan serangan ke atas Afghanistan.

Tidakkah pemerintah-pemerintah ini ingat akan doa Rasulullah SAW ketika  baginda dihalau keluar dari Kota Thaif sambil tubuh baginda dibasahi  darah akibat dibaling batu oleh kanak-kanak dan hamba abdi, beliau  mengadu: “Ya Allah! Kepada Engkaulah aku mengadukan kelemahan  kekuatanku, dan sedikitnya daya upayaku dan kehinaanku bagi manusia, ya  Tuhan yang Maha Penyayang kepada orang-orang yang kasih sayang. Ya  Tuhan, Engkaulah yang memelihara orang-orang yang dipandang lemah, yang  tertindas, dan Engkaulah Tuhanku, kepada siapa Engkau akan menyerahkan  aku? apakah kepada musuh yang jauh yang amat benci kepadaku, ataukah  kepada kawan yang dekat yang telah Engkau beri kekuasaan mengurus  urusanku? Jika engkau tidak murka kepadaku, maka tidaklah mengapa, aku  tidak peduli, melainkan kemurahan Engkau lebih lapang kepadaku, itulah  yang aku harapkan. Aku berlindung kepada Nur Wajah Engkau yang mulia,  yang menyinari langit dan bumi, dan yang menerangi semua kegelapan dan  memperbaiki urusan dunia dan akhirat. Semoga Engkau janganlah  menjatuhkan kemarahan Engkau kepadaku; atau janganlah Engkau menurunkan  kemurkaan Engkau kepadaku; Dan kepada engkaulah semua celaan ini aku  serahkan sehingga Engkau redha. Dan tidak ada daya upaya dan kekuatan  melainkan dengan pertolongan Engkau jua.”






Perbandingan 6 – Kesan daripada peperangan

Kesan utama daripada peperangan ini adalah pembebasan kaum Muslimin dari  penguasaan kaum Tartar dan aqidah mereka yang sesat, meningkatnya  keyakinan dan semangat kaum Muslimin, dan juga mendapatkan semula  kekuatan dan kedudukan Negara Islam yang telah berdiri semenjak berabad  lamanya mempertahankan Islam dan umatnya ke atas tersebarnya kekufuran.

Bandingkan dengan hari ini. Lihat sahajalah pada perang Arab-Israel,  Pakistan-India, Bosnia, Palestin, Perang Teluk dan lain-lain lagi yang  melibatkan umat Islam, hasil langsung dari kesemua ini adalah  pemerintah-pemerintah umat Islam ini telah mengukuhkan lagi kekuasaan  kufur ke atas mereka, menghancurkan semangat dan keyakinan kaum  Muslimin, mengkhianati Islam dan umatnya. Kesan malapetaka yang berlaku  di Afghanistan telah memperlihatkan betapa pemimpin-pemimpin Afghanistan  berkumpul seperti peminta sedekah di persidangan Bonn, German yang  membincangkan kerajaan baru Afghanistan setelah tertumpahnya darah kaum  Muslimin di sana, sementara penjajah Amerika pula sibuk untuk mencari  kawasan baru bagi serangan mereka ke atas pengganas.


Wahai Kaum Muslimin!!!!

Perang Ain Jalut adalah peristiwa gilang-gemilang yang berlaku dalam  lipatan sejarah umat Islam. Jika hendak dibuat perbandingan dengan  tujuan untuk mencari pengajaran di dalam usaha untuk membangkitkan  semula umat Islam, maka pengajaran yang dapat diambil  daripada sejarah  perang tersebut adalah:

Di bawah kepimpinan Islam yang ikhlas, umat Islam itu telah disatukan,  mereka berjaya memperoleh kekuatan dan mengatasi kelemahan, Iman mereka  dihidupkan dan tentera-tenteranya pula dipersiapkan dan digerakkan untuk  menghalau penjajah, mempertahankan tanah dan jiwa umat Islam dan  mengembalikan kekuasaan kepada Islam.

Pada hari ini kita tidak lagi memiliki pemimpin yang ikhlas dan juga  negara Islam yang akan menggerakkan sumber-sumber yang dimiliki umat  Islam untuk memikul tanggungjawab terhadap agama dan umatnya. Iaitu  pemimpin-pemimpin yang sentiasa mencari kemenangan ke atas musuh Allah,  rasulnya dan juga kaum muslimin.

Bulan Ramadhan yang dirahmati ini tidak seharusnya berlalu tanpa umat  Islam itu bangkit dan melibatkan diri dalam tugas untuk mengebumikan  kepimpinan dan sistem kufur yang sedang menguasai ruang lingkup  kehidupan kita pada hari ini.

Semoga Allah SWT memberikan pertolongan kepada kita untuk menunaikan  ibadah puasa ini dan menegakkan kembali Khilafah yang akan mengembalikan  hak dan kehormatan umat Islam dalam masa terdekat ini.

Sumber : www.khilafah.com



1 comment:

  1. Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu

    ReplyDelete