Bagi seorang selebriti seperti Umie, keputusan itu mungkin bukan senang. Namun, itu fasa hidup pilihannya selepas sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, 47, pada 14 Mac lalu di Mekah.
Umie bagaimanapun menyatakan niat bertudung itu tidak akan dilakukan secara mendadak. Semua itu akan dilakukan secara bertatih.
Maka, apabila pelakon berusia 37 tahun itu muncul dengan berselendang pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin anjuran akhbar Utusan Malaysia pada 8 April lalu, ramai yakin dia sudah melakukan anjakan paradigma.
Cuma, penampilan tanpa selendang pada majlis mengumumkan dia sebagai duta terbaru kepada syarikat pelangsing, Marie France Bodyline, baru-baru ini mengundang pertanyaan ramai. Adakah aktres itu sudah bersedia untuk bertudung atau hanya pada acara tertentu sahaja?
"Memang saya sudah mahu melangkah ke arah itu. Itu niat saya dan disokong oleh suami saya. Setiap manusia ada niat dan ini adalah antara saya dan Tuhan. Lagipun saya mahu melakukan selangkah demi selangkah.
"Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya tidak boleh tergesa-gesa memakai tudung kerana terikat dengan komitmen kerja. Menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap Marie France Bodyline ini adalah salah satu daripadanya," terang Umie.
Sumber: Berita Malaysia Online 23/5/2010
Seorang Muslimat Wajib Bersegera Melaksanakan Syariat Allah SWT Tanpa Sebarang Alasan
Diriwayatkan dari Shofiyah binti Syaibah ra berkata: “Ketika kami bersama Aisyah ra, beliau berkata: “Saya teringat akan wanita-wanita Quraisy dan keutamaan mereka.” Aisyah berkata: “Sesungguhnya wanita-wanita Quraisy memiliki keutamaan, dan demi Allah, saya tidak melihat wanita yang lebih percaya kepada kitab Allah dan lebih meyakini ayat-ayatNya melebihi wanita-wanita Anshar. Ketika turun kepada mereka ayat:
“Dan hendaklah mereka menutupkan (melabuhkan) kain tudung ke dadanya.” (TMQ An-Nur[24]: 31).
Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorang pun di antara wanita itu melainkan segera berdiri mengambil kain (tirai) dan menutupi kepala kerana yakin dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah di dalam kitabNya. Sehinggakan mereka (berjalan) di belakang Rasulullah SAW dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak.
Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi sebagai seorang yang beriman dalam melaksanakan segala perintah yang datangnya dari Al-Khaliq. Bukannya melengah-lengah atau berpaling daripada melaksanakannya.
"Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka maka mereka menjawab: “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapatkan kemenangan”. (TMQ An-Nur[24]: 51-52).
Ingatlah peristiwa bagaimana Rasulullah SAW dimikrajkan ke langit, dan baginda diperlihatkan kebesaran Allah SWT, yang salah satunya berkenaan wanita yang suka mendedahkan auratnya kepada khalayak ramai.
Rasulullah SAW melihat para wanita itu diikat dengan payu daranya sendiri. Aku bertanya: “Mereka siapa wahai Jibril? Jibril menjawab: “Mereka adalah para wanita yang suka menampakkan auratnya kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.” (Sirah Nabawiyyah, Prof. Dr Rawwas Qol’ahji)
No comments:
Post a Comment